Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) telah menubuhkan Tabung Ujian COVID-19 (CTF) bagi menyokong usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mengendalikan lebih banyak ujian saringan COVID-19 untuk manfaat pemegang polisi insurans dan sijil takaful perubatan.
Pemegang-pemegang polisi insurans dan sijil takaful perubatan boleh memohon untuk pulangan balik sehingga RM300 untuk ujian saringan COVID-19 (satu pulangan balik bagi setiap individu) bagi memaksimumkan bilangan ujian yang boleh diberi oleh CTF.
Syarat-syarat & Kelayakan
- Pemegang-pemegang polisi insurans dan sijil takaful di bawah pelan insurans / takaful perubatan individu atau kelompok*, yang telah dirujuk oleh doktor yang berdaftar untuk melakukan ujian saringan COVID-19 di makmal swasta yang diperakui/diiktiraf dan disenaraikan di laman web COVID-19 KKM.
- Mereka yang layak dirujuk/ menjalani ujian adalah dianggap sebagai Orang yang Disiasat (PUI) seperti yang ditakrifkan oleh KKM atau mempunyai hubungan dengan kes positif.
- Takrifan Kes PUI
- Mempunyai jangkitan pernafasan akut (serangan tiba-tiba bagi jangkitan pernafasan dengan salah satu: kesesakan bernafas, batuk atau sakit tekak) dengan atau tanpa demam DAN
- Ada sejarah perjalanan ke / menetap di luar negara dalam masa 14 hari sebelum bermulanya sakit ATAU
- Hubungan rapat* dalam masa 14 hari sebelum bermulanya sakit dengan kes sah COVID-19 ATAU
- Menghadiri majlis umum yang dikaitkan dengan wabak COVID-19.
- CTF dibuka bagi ujian saringan yang dibuat bermula dari 27 Mac 2020 dan selanjutnya. Polisi insurans / sijil takaful mestilah masih berkuatkuasa pada 27 Mac 2020 dan pada masa ujian saringan COVID-19 dilakukan.
Untuk maklumat lanjut sila rujuk Soalan Lazim (FAQ).
Permohonan
Untuk memohon CTF, anda perlu membuat tuntutan melalui portal CTF di www.myCTF.my dengan melengkapkan borang dalam talian dan mengemukakan borang-borang sokongan.
Berikut adalah borang-borang yang diperlukan untuk membuat tuntutan:
- Pengesahan dari Doktor melalui borang yang boleh dimuat turun dari www.MyCTF.my (Download Claims Form) / (Muat Turun Borang Tuntutan) , ATAU
Salinan surat rujukan doktor / Nota Nasihat Perubatan bagi saringan yang dilakukan dirumah melalui perkhidmatan DoctorOnCall atau Doctor2U yang menyatakan bahawa anda perlu melakukan ujian saringan COVID-19 ATAU
Borang Perintah Untuk Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah Kediaman (Seperti Lampiran 14b Garispanduan Pengurusan COVID-19 di Malaysia No.05/2020 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia). Tekan sini untuk melihat contoh.
- Resit pembayaran ujian COVID-19
- Kad pengenalan (depan & belakang)
Nota:
- Semua dokumen perlu dimuatnaik ke dalam portal dengan menggunakan salinan imbas atau gambar imej. Sila pastikan dokumen yang dimuatnaik adalah jelas.
- Hanya 1 permohonan yang dibenarkan bagi setiap pemegang polisi insurans dan sijil takaful.